Isnin, 16 Mei 2016 | 12:52am

Arsenal sah tempat kedua EPL

PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (kanan) merembat ke gawang sambil cuba dihalang pemain pertahanan Aston Villa, Kevin Toner dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates, London. - Foto AFP
PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (kanan) merembat ke gawang sambil cuba dihalang pemain pertahanan Aston Villa, Kevin Toner dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates, London. - Foto AFP

LONDON: Penyerang, Olivier Giroud meledak hatrik ketika membantu Arsenal membenam kelab yang sudah tersingkir, Aston Villa, 4-0 untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kedua.

Pengesahan tempat kedua liga itu diperoleh The Gunners selepas pencabar utamanya, Tottenham Hotspur mencatat kekalahan mengejutkan 5-1 kepada Newcastle di laman lawan.

Kemenangan menyaksikan Arsenal mengumpul keseluruhan 71 mata, satu mata mengatasi Tottenham yang sekadar mengumpul 70 mata.

Pada aksi di Emirates itu, Arsenal di depan seawal minit kelima menerusi jaringan Giroud yang menanduk masuk hantaran Nacho Monreal.

Berita gol ketiga Newcastle ketika menentang Spurs turut mencetus pesta di Emirates dengan Giroud meledak gol kedua pasukannya ketika perlawanan berbaki 12 minit sebelum melengkapkan hatriknya dua minit kemudian.

Mikel Arteta melengkapkan jumlah jaringan tuan rumah pada masa kecederaan. - Agensi

Berita Harian X