Ahad, 15 Mei 2016 | 5:20pm

Hayden akhiri kemarau gelaran di Sepang

Pelumba Honda World Superbike Team, Nicky Hayden pada perlumbaan FIM Superbike World Championship 2016 (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto BERNAMA
Pelumba Honda World Superbike Team, Nicky Hayden pada perlumbaan FIM Superbike World Championship 2016 (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto BERNAMA

SEPANG: Pelumba dari Amerika Syarikat (AS), Nicky Hayden menjuarai Perlumbaan 2 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi - gelaran sulungnya di litar ini dan juga yang pertama untuk musim 2016.

Pelumba pasukan Honda World Superbike Team itu mencatat masa terpantas 37 minit 04.047 saat selepas memulakan perlumbaan dari petak keempat yang berlangsung dalam keadaan trek basah.

Hayden atau dikenali sebagai Kentucky Kid itu turut memecah penguasaan pelumba Great Britain - Jonathan Rea, Chaz Davies dan juara Perlumbaan 1, Tom Sykes - yang sebelum ini menguasai penamat di podium.

Tempat kedua menjadi milik Davide Giugliano dari pasukan Aruba.it Racing manakala ketiga diraih pendahulu carta keseluruhan kelas Superbike, Rea (Kawasaki Racing Team).

Berita Harian X