X
Isnin, 9 Mei 2016 | 2:48pm

Le Mans tak jejas fokus Khairul Idham, Adam

KUALA LUMPUR: Melepasi garisan penamat perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di kedudukan ke-14, semalam tidak melunturkan semangat pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi.

Bersemangat tinggi selepas memulakan perlumbaan di petak kesembilan, begitupun disebabkan beberapa isu, hanya dua mata berjaya dikutip penunggang pasukan Honda Asia itu di litar penuh sejarah Le Mans.

Pelumba Afrika Selatan, Brad Binder memenangi perlumbaan itu dengan catatan 41 minit 31.041 saat (s) manakala Khairul Idham melepasi garisan penamat 13.907s di belakangnya.

"Permulaan yang baik namun kami berdepan beberapa masalah," kata pelumba berusia 18 tahun itu mengulas perlumbaan, semalam.

"Terus berjuang untuk pusingan selepas ini. Terima kasih atas sokongan anda semua," katanya dipetik dari laman sosial Instagram miliknya.

Tempat ke-14 di Le Mans turut menyamai kedudukan yang diraih Khairul Idham pada perlumbaan di GP Sepanyol, dua minggu lalu.

Khairul Idham sebelum ini mencipta bangga apabila muncul pelumba pertama negara memenangi perlumbaan di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 selepas mengungguli GP Argentina, bulan lalu.

Begitupun, nasib jelas kurang menyebelahi seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing, semalam apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit kemalangan seawal pusingan pertama.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan maaf kepada semua orang terutama pasukan dan penaja kerana perlumbaan ini amat sukar kerana terdapat begitu banyak kemalangan.

"Ia amat mengecewakan kerana ketika sesi pemanas badan, kami melakukan agak baik dan saya fikir saya sudah mendapat semua perasaan saya, namun ketika perlumbaan, ketika saya cuba memintas beberapa pelumba, saya terjatuh.

"Saya mendapat pengajaran yang berharga di sini. Saya tahu saya perlu bekerja lebih keras dengan tunggangan saya dan meningkatkan diri," katanya.

Perlumbaan pusingan enam MotoGP selepas ini ialah di Mugallo, Itali pada 22 Mei depan.

Berita Harian X