Sabtu, 7 Mei 2016 | 12:16pm

Pereyra Diaz pemain terbaik bulan Mac - PFAM

PENYERANG sensasi JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENYERANG sensasi JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi bulan Mac.

Diaz yang berasal dari Argentina menerima undian tertinggi sebanyak 44 peratus mengalahkan empat calon lain, Issey Nakajima Farran (Terengganu - 24 peratus), Mohd Hafizul Hakim (Perak - 16 peratus), Farhan Abu Bakar (Kedah - 11 peratus) dan R Gopinathan (Selangor - 5 peratus).

Dia menerima hadiah plak, wang tunai RM1,500 dan gambar serta bingkai pemain sumbangan asiana.my yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail di Padang Seri Gelam, Johor.

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM itu dianjurkan oleh PFAM dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) dan MVP Sports Agency sebagai rakan penaja utama.

Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM - asiana.my iaitu terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan.

Undian kemudian dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di negara ini.

Untuk mengundi, peminat bola sepak boleh melakukannya melalui desktop, laptop, telefon pintar atau tablet dan menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my.

Undian akan dibuka selama seminggu untuk peminat bola sepak mengundi calon kegemaran mereka.

"Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka," kata kenyataan PFAM, semalam.

Berita Harian X