Sabtu, 30 April 2016 | 11:19pm

Piala FA: JDT, PKNS berentap di final

PEMAIN JDT, Aznie Taib (kiri) diasak oleh pemain Kedah, Muhd Syafiq Ahmad (dua dari kiri) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru, malam ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Final Piala FA menyaksikan pertembungan antara pasukan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Liga Perdana, PKNS FC selepas mereka menundukkan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua, sebentar tadi.

JDT di bawah bimbingan Mario Gomez menewaskan Kedah 3-1 di laman sendiri sementara PKNS FC yang dibimbing E Elavarasan menundukkan Perak 2-1 pada aksi di tempat lawan.

Pada aksi yang berlangsung di Larkin, Harimau Selatan terlebih dahulu mendahului menerusi penyudah penyerang import, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-23 sebelum Juan Martin Lucero melebarkan jurang pada minit ke-52.

Kemasukan pemain gantian Kedah, Mohd Fakri Saarani nyata berbaloi apabila bekas pemain sayap kebangsaan itu menjaringkan gol pertama Helang Merah pada minit ke-66 sekali gus, mengikat agregat 3-3.

Diaz akhirnya muncul wira buat juara Piala AFC itu apabila menjaringkan gol ketiga buat JDT dua minit sebelum tamat dan membawa JDT ke pentas akhir menerusi agregat 4-3.

PEMAIN import Perak, Eric Weeks Lewis (kiri) bersaing dengan pemain PKNS FC, Mohd Farid Ramli pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam ini. - Foto Muhaizan Yahya
PEMAIN import Perak, Eric Weeks Lewis (kiri) bersaing dengan pemain PKNS FC, Mohd Farid Ramli pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam ini. - Foto Muhaizan Yahya

Sementara itu, aksi di Stadium Perak menyaksikan PKNS FC tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol pembukaan menerusi Matias Jadue selepas tujuh minit perlawanan berlangsung, namun Nazirul Naim Che Hashim memadam kelebihan pelawat selepas seminit babak bersambung apabila meledak gol penyamaan.

Namun, impian The Bos Gaurus untuk mara ke final buat kali pertama sejak 2004 diranapkan penyerang import Argentina, Juan Manuel Cobelli yang meledak gol kemenangan Semut Merah pada minit ke-68 untuk menjadikan agregat 4-3, sekali gus menempah slot ke pentas akhir Piala FA.

Berita Harian X