Isnin, 25 April 2016 | 1:36am

Leicester terus hampiri trofi EPL, belasah Swansea 4-0

PEMAIN Leicester City, Marc Albrighton meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Swansea di Stadium King Power, malam tadi. - Foto AFP
PEMAIN Leicester City, Marc Albrighton meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Swansea di Stadium King Power, malam tadi. - Foto AFP

LONDON: Leicester City yang turun tanpa khidmat penyerang berbisa, Jamie Vardy meneruskan langkahan bergaya untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali dengan membelasah Swansea 4-0, sebentar tadi.

Tanpa Vardy yang berdepan penggantungan, gol Leicester dijaringkan Riyad Mahrez, Marc Albrighton termasuk dua gol daripada Leonardo Ulloa pada kedua-dua babak perlawanan.

Memanfaat sepenuhnya kesilapan kapten Swansea, Ashley Williams, Mahrez membuktikan ketajamannya dengan meledak gol pembukaan Leicester seawal minit ke-10.

Kesilapan Williams itu seakan 'menghadiahkan' bola kepada Mahrez dengan ironinya, kedua-dua pemain pada perlawanan pertama musim ini di laman Swansea, Stadium Liberty hampir berakhir dengan pergaduhan.

Tidak puas dengan jaringan Mahrez, Leicester menjaringkan gol kedua menerusi Ulloa pada minit ke-30 yang berpunca daripada umpanan bijak Daniel Drinkwater.

Selesa mendahului 2-0 berakhir babak pertama, Ulloa menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-60 sebelum Albrighton melengkapkan kemenangan bergaya The Foxes lima minit sebelum permainan tamat.

Kemenangan bergaya di Stadium King Power itu turut memanjangkan rekod tanpa kalah Leicester di laman sendiri dalam kempen EPL kepada 14 perlawanan.

Leicester ketika ini menduduki tangga teratas liga dengan kelebihan lapan mata di depan Tottenham Hotspurs yang dijadual beraksi menentang West Bromwich Albion awal pagi esok. - Agensi

Berita Harian X