Sabtu, 23 April 2016 | 11:56pm

UiTM Shah Alam juara Piala Sumbangsih Liga IPT

PASUKAN UiTM Shah Alam menjuarai saingan bola sepak Piala Sumbangsih Liga IPT. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PASUKAN UiTM Shah Alam menjuarai saingan bola sepak Piala Sumbangsih Liga IPT. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjuarai saingan bola sepak Piala Sumbangsih Liga IPT bagi tahun ini.

Dalam perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), malam tadi, pasukan berkenaan menundukkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), 2-1.

UiTM Shah Alam yang juga juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2015 membuka jaringan menerusi penyerang mereka, Fakrurazi Mat Lazin, seawal minit kedua lagi.

UniSZA bagaimanapun menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti dan ia disempurnakan oleh Aiman Amran pada penghujung saingan babak pertama.

Pada minit 56, Fakrurazi muncul wira UiTM apabila meledak gol kedua pasukannya bagi meraih kemenangan untuk merangkul kejuaraan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Hazally Jali. Hadir sama Pendaftar UniSZA, Prof Madya Nordin Jusoh.

Berita Harian X