Ahad, 17 April 2016 | 11:02am

Icardi, Brozovic sambung talian hayat Inter

PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi (dua dari kanan) membolosi gawang Napoli untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Serie A, semalam. - Foto AP
PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi (dua dari kanan) membolosi gawang Napoli untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Serie A, semalam. - Foto AP

MILAN: Gol daripada Mauro Icardi dan Marcelo Brozovic menghadiahkan Inter Milan 'talian hayat' ke saingan Liga Juara-Juara selepas membenam Napoli 2-0, semalam.

Kemenangan Inter itu juga secara dasarnya mengakhiri peluang Napoli untuk menjulang gelaran Serie A buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun.

Bertandang ke San Siro dengan semangat tinggi selepas hukuman ke atas peledak utama, Gonzalo Higuain dikurangkan, Napoli begitupun pulang hampa malah bolos seawal minit keempat selepas Icardi yang tampak ofsaid berjaya menewaskan Pepe Reina.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, Inter meledak gol kedua menerusi Brozovic dengan perlawanan babak kedua berakhir tanpa serangan jaringan.

Napoli kekal di tangga kedua ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Juventus kedudukan itu mampu dijarakkan gergasi Turin itu yang dijadual beraksi, malam ini.

Berbaki lima perlawanan, Inter kekal di kedudukan keempat namun skuad bimbingan Roberto Mancini itu hanya dibezakan dengan tiga mata di kedudukan ketiga liga.

Bekas pengurus Manchester City itu pantas memuji pertahanan pasukannya yang beraksi cemerlang pada perlawanan terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenai peluang ke saingan elit Eropah itu.

"Ketika bertahan, kami amat-amat kuat," kata Mancini yang keseorangan ketika sidang media selepas perlawanan apabila Napoli memboikot sidang media. "Ketika mereka mendapat bola, kami tidak melepaskan sebarang gol kepada Napoli dan ia bermakna keseluruhan pasukan bermain dengan baik.

"Perlawanan hari ini (Atalanta dan Roma) tidak memberi banyak perubahan keapda kami kerana kami masih perlu mendapatkan sebanyak mata bermula sekarang sehingga penghujung musim ini.

"Kami perlu menunggu sehingga hari terakhir perlawanan pada 15 Mei depan," katanya. - AFP

Berita Harian X