Isnin, 11 April 2016 | 7:52am

Khairul Idham tekad tebus kecewa di Jerez

PELUMBA Malaysia, Khairul Idham Pawi. - Foto AFP
PELUMBA Malaysia, Khairul Idham Pawi. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi berjanji memperagakan tunggangan lebih baik apabila beraksi di pusingan keempat Moto3 di Jerez, Sepanyol selepas hanya menamatkan saingan di tangga ke-20 Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, tengah malam tadi.

Pelumba Honda Team Asia itu bermula dari petak ke-32 di Circuit of The Americas dan menamatkan perlumbaan dengan catatan 42 minit 02.975 saat, ketinggalan 48.107s daripada pemenang kali ini, Romano Fenati dari Itali.

"Bermula dari petak ke-32, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 adalah satu minggu yang sukar buat saya," kata pelumba berusia 17 tahun dari Kampung Gajah, Perak itu.

Pusingan keempat Moto3 dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol 24 April ini dan Khairul Idham yang mencipta kejutan memenangi GP Argentina minggu lalu, jelas tidak sabar untuk menebus kekecewaannya itu di sana.

"Tak sabar untuk perlumbaan seterusnya! Terima kasih atas sokongan semua," kata Khairul atau dikenali sebagai Super KIP itu.

Selepas tiga pusingan perlumbaan, Khairul kini mengumpul 25 mata untuk berada di kedudukan kelima keseluruhan carta pelumba.

Berita Harian X