Ahad, 10 April 2016 | 2:36pm

Cuaca ganggu Super KIP

KHAIRUL menamatkan sesi kelayakan di tangga ke-32 seterusnya bakal memulakan perlumbaan di petak paling belakang. - Foto AP
KHAIRUL menamatkan sesi kelayakan di tangga ke-32 seterusnya bakal memulakan perlumbaan di petak paling belakang. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca tidak menentu di Circuit Of The Americas menyukarkan pelumba negara dalam kelas Moto3, Khairul Idham Pawi untuk mencari petak perlumbaan terbaik di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, tengah malam ini.

Dalam situasi cuaca yang sering berubah, Khairul yang muncul selaku pemenang GP Argentina minggu lalu hanya mampu menamatkan sesi kelayakan di tangga ke-32 seterusnya bakal memulakan perlumbaan di petak paling belakang.

Pelumba Honda Team Asia itu mencatat 2 minit 24.640 saat dan ketinggalan 6.242s daripada Philipp Oettl (Schedl GP Racing) yang menyambar petak depan, pagi tadi.

"Sesi kelayakan yang sukar buat saya," kata Khairul atau lebih dikenali sebagai Super KIP itu. "Dengan keadaan yang sukar, saya tidak mampu memperbaiki catatan sepusingan.

"Sudah pasti, bermula dari petak paling belakang bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi saya akan cuba berusaha sebaik mungkin bagi mencari penamat terbaik."

Berita Harian X