Jumaat, 8 April 2016 | 4:58pm

Hafizh ingin ulangi prestasi baik di GP AS minggu ini

PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin. - Foto BERNAMA
PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin berusaha untuk mengulangi prestasi yang dipamerkannya di Circuit of the Americas (COTA) Texas, Amerika Syarikat pada tahun lepas, pada pusingan ketiga Kejohanan Grand Prix Dunia Moto2, hujung minggu ini.

Pelumba Petronas Talent Development yang mencatat tempat keenam dalam Grand Prix Argentina minggu lepas berkata perlumbaan kali ini bukan mudah buatnya biarpun dia yakin mampu memberi cabaran kepada pelumba hadapan di litar sepanjang 5.5 km itu.

"Saya bertekad untuk beraksi dengan baik dan mengulangi prestasi tahun lepas. Kami perlu segera mendapatkan pelarasan jentera yang terbaik dan mampu memberi saingan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukannya, Petronas Raceline Malaysia hari ini.

"Saya melakukan kesilapan di dalam perlumbaan minggu lepas apabila tersalah kira baki pusingan perlumbaan dan saya akan pastikan ia tidak berlaku lagi," kata Hafizh.

Pelumba berusia 21 tahun itu mendapat tempat keenam di litar COTA pada 2015 biarpun bermula dari petak ke-15 yang merupakan pencapaian terbaiknya dalam keadaan litar kering.

Hafizh kini berada di tempat keempat keseluruhan dalam Moto2 dengan 23 mata, 11 mata di belakang pendahulu pelumba Switzerland Thomas Luthi daripada pasukan Garage Plus Interwetten yang mengutip 34 mata selepas dua perlumbaan. - BERNAMA

Berita Harian X