Selasa, 5 April 2016 | 7:51am

4 atlet judo Russia diuji positif meldonium

MELDONIUM ialah dadah yang mampu meningkatkan daya tahan dan digunakan untuk merawat masalah jantung dan ditambah dalam senarai bahan terlarang pada 1 Januari 2016. - Foto Reuters
MELDONIUM ialah dadah yang mampu meningkatkan daya tahan dan digunakan untuk merawat masalah jantung dan ditambah dalam senarai bahan terlarang pada 1 Januari 2016. - Foto Reuters

MOSCOW: Empat atlet judo Russia berada dalam senarai baharu atlet yang diuji positif meldonium sekali gus menghangatkan lagi skandal bahan terlarang itu di negara berkenaan.

Sumber memberitahu agensi berita TASS, empat atlet judo itu adalah juara dunia 2012, Mikhail Pulyaev, Denis Yartsev, Natalia Kondratieva dan Yekaterina Valkova.

Persekutuan Judo Russia bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai kes berkenaan atau mendedahkan nama atlet yang diuji positif ubatan terlarang itu.

Meldonium menjadi tumpuan bulan lalu apabila bintang tenis Russia, Maria Sharapova mengumumkan dirinya diuji positif bahan terlarang itu di Terbuka Australia, Januari lalu.

Meldonium ialah dadah yang mampu meningkatkan daya tahan dan digunakan untuk merawat masalah jantung dan ditambah dalam senarai bahan terlarang pada 1 Januari 2016.

Sejak daripada itu, beberapa atlet berprofil tinggi Russia termasuk perenang Olimpik Yulia Efimova, atlet luncur laju, Semyon Yelistratov dan Pavel Kulizhnikov turut mengakui diuji positif dadah yang sama. - AFP

Berita Harian X