Isnin, 4 April 2016 | 9:06pm

Penulis Sukan Terbaik terima Anugerah Siebel

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beveregas, Carissa Goh (kiri), Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa dan Pengurus Besar 100plus Leong Wai Lin (kanan) pada majlis sidang media Anugerah SAM yang diadakan di Hotel Hilton Pretaling Jaya. - Foto Osman Adnan
Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beveregas, Carissa Goh (kiri), Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa dan Pengurus Besar 100plus Leong Wai Lin (kanan) pada majlis sidang media Anugerah SAM yang diadakan di Hotel Hilton Pretaling Jaya. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Mulai tahun ini Anugerah Penulis Sukan Terbaik akan dikenali sebagai Anugerah Siebel yang diambil sempena nama presiden pertama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM).

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, berkata penjenamaan semula anugerah utama dalam kewartawanan sukan itu adalah sebahagian daripada langkah memartabatkan status anugerah khas untuk warga penulis sukan tempatan.

Katanya, penjenamaan semula anugerah itu turut mendapat persetujuan daripada anggota keluarga mendiang Siebel yang menganggapnya sebagai pengiktirafan kepada mendiang yang menggerakkan penubuhan SAM.

"Sudah tiba masanya untuk kita mengangkat martabat anugerah ini ke tahap yang lebih tinggi di mana kita mahu ia menjadi tempat atau wadah pengiktirafan yang boleh dibanggakan warga kewartawanan sukan negara.

"Di Malaysia, kita cuma ada dua anugerah utama untuk sukan iaitu Anugerah SAM-100Plus dan Anugerah Sukan Negara.

"Ini tahun ketujuh kita mengadakan anugerah ini dan kita mahu satu anugerah di mana pemenang akan berasa bangga dengan pencapaian tertinggi dalam kewartawanan sukan negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mendiang Siebel adalah nama besar dalam kewartawanan sukan negara pada sekitar 1960an dan menjadi penggerak kumpulan perintis penggiat media yang menubuhkan SAM.

Sementara itu, Ahmad Khawari berkata pemenang hadiah utama pada Anugerah SAM-100Plus 2015 yang akan diadakan pada 13 April ini, akan membawa pulang trofi khas dan juga wang tunai RM7,000.

Majlis anugerah itu akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain hadiah utama, Ahmad Khawari berkata enam lagi kategori turut dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (media cetak dan elektronik), Ulasan Berita Terbaik (media elektronik dan cetak), Laporan Khas dan juga kategori Fotografi Sukan.

Beliau berkata, SAM turut bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyenaraipendekkan lima atlet terbaik negara yang telah melakar kejayaan di peringkat tertinggi sepanjang 2015.

Lima atlet berkenaan ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; ratu skuasy, Datuk Nicol David; ratu terjun, Pandelela Rinong; atlet wushu, Loh Jack Chang; dan atlet silat, Mohd Al Jufferi Jamari. - BERNAMA

Berita Harian X