Isnin, 4 April 2016 | 9:16am

Khairy ucap tahniah kejayaan dirakam Khairul Idham

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar antara pemimpin terawal mengucapkan tahniah dan memuji kejayaan pelumba motosikal negara, Khairul Idham Pawi yang memenangi Kejohanan MotoGP Dunia kategori Moto3 di Grand Prix Argentina, awal pagi ini.

"Akhirnya...saya berharap ia akan menjadi permulaan untuk era keemasan (sukan permotoran)," katanya menerusi akaun Twitternya, awal pagi tadi.

Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia ini mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42'1.622 saat dan 42'5.512 saat.

Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.

Berita Harian X