X
Jumaat, 1 April 2016 | 7:04pm

Kaki Shaaban terpaksa dipotong akibat parah: Abang

KEADAAN pemain golf negara, Shaaban Hussin dan motosikalnya.
KEADAAN pemain golf negara, Shaaban Hussin dan motosikalnya.

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Shaaban Hussin kehilangan kaki kiri selepas terpaksa dipotong akibat parah susulan terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Guthrie, dekat sini, pagi semalam.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh abang pemain berkenaan, Mohd Shawal, 38, ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebentar tadi - tempat dia menerima rawatan lanjut selepas ditimpa musibah itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

"Apa yang saya saksikan sendiri, kaki kiri Shaaban sudah dipotong. Saya difahamkan bahagian bawah sudah tidak dapat lagi diselamatkan kerana terdapat urat saraf yang putus.

MOHD Shawal 38, abang kepada pemain golf negara, Shaaban Hussin ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MOHD Shawal 38, abang kepada pemain golf negara, Shaaban Hussin ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

"Ketika saya bertemu dengannya, dia hanya mampu berkomunikasi dengan memberi isyarat. Sekarang ini kami masih menanti perkembangan terbaharu daripada doktor untuk rawatan susulan," katanya.

Akhbar BH hari ini melaporkan Shaaban, 36, terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan dari Ijok ke Damansara untuk menjalani latihan.

Motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya itu dikatakan terbabas sehingga menyebabkan dia terseret di lebuh raya sebelum tercampak ke longkang.

Kemalangan itu dipercayai berpunca selepas Shaaban cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut, sebelum dipindahkan ke HKL tidak lama selepas itu.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak kira-kira jam 6.30 pagi tadi, selepas selesai menjalani pembedahan.

Berita Harian X