Khamis, 31 March 2016 | 11:49pm

Hafizh buru kedudukan terbaik Moto2 GP Argentina

PELUMBA Moto2 PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA
PELUMBA Moto2 PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah memburu kedudukan terbaik di pusingan kedua Kejohanan Moto2 Dunia di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina hujung minggu ini.

Hafizh yang selesa dengan litar itu mahu memperbaiki catatan litar sepusingan serta kedudukan keseluruhannya.

"Sebelum itu, saya mahu mendapatkan rehat yang mencukupi selepas mengharungi perjalanan yang jauh dari Barcelona (Sepanyol) ke Argentina, sebelum mula menunggang untuk mendapatkan pelarasan jentera yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pengurus pasukan, Barry Leong, walaupun semua orang mahu Hafizh menonjolkan diri di Argentina, beliau masih bimbangkan dengan keadaan tangan kanan pelumba itu.

"Sebelum ke Argentina, Hafizh menjalani beberapa sesi fisioterapi selain latihan di gimnasium. Saya rasa semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Selain itu, Barry juga berharap Hafizh dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik dan tidak mengulangi keadaan seperti di Qatar apabila mula terasa kebas di tangannya pada penghujung perlumbaan.

Dalam perlumbaan pembukaan musim di Litar Antarabangsa Losail pada 20 Mac lepas, Hafizh mengharungi aksi 20 pusingan yang mencabar serta tangannya yang kebas untuk menduduki tempat keempat dengan mengumpul 13 mata.

Hafizh mulanya menjadi pelumba kelima melepasi garisan penamat tetapi apabila penunggang tempat kedua, Franco Morbidelli dari Team Estrella Galicia 0,0 Marc VDS dikenakan penalti yang menyaksikannya turun ke tangga ketujuh, Hafizh dinaikkan ke tempat keempat. - BERNAMA

Berita Harian X