Sabtu, 5 March 2016 | 12:14am

Piala FA: JDT benam N9, PDRM kejutkan Selangor

PEMAIN JDT, Safee Sali (10) diasak pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat (5) Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan saingan pusingan ketiga Piala FA, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT, Safee Sali (10) diasak pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat (5) Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan saingan pusingan ketiga Piala FA, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PDRM, mara ke peringkat seterusnya saingan Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi pusingan ketiga, malam tadi.

JDT menepati ramalan apabila mudah membenam Negeri Sembilan 4-1 pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Meskipun sekadar menurunkan barisan kedua, namun juara Piala AFC itu tidak berdepan masalah.

Mereka mendahului seawal minit ke-5 menerusi penyudah Azinee Taib sebelum Amri Yahyah melebarkan kedudukan kepada 2-0, selepas 10 minit perlawanan melalui sepakan penalti sekali gus membolehkan mereka selesa dengan 2-0 pada separuh masa pertama.

Skuad Harimau Selatan itu terus garang pada babak kedua apabila Jorge Pereyra Diaz meledak gol ketiga JDT pada minit ke-63, sebelum Andrew Nabbout merapatkan kedudukan tiga minit berselang.

Namun Diaz menambah derita Sang Rusa menerusi jaringan minit akhir membolehkan JDT menang 4-1 dan sekali gus mara ke peringkat suku akhir.

Di Stadium Hang Jebat, pendahulu Liga Super, Selangor ditunjukkan jalan keluar oleh pasukan PDRM selepas skuad The Red Giants tewas 2-1 di tangan pasukan bimbingan Mohd Fauzi Pilus itu.

Kelebihan beraksi di laman sendiri itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad The Cops dengan Ahmad Nizam Rodzi menjaringkan gol pendahuluan hasil hantaran Safuwan Baharuddin pada minit ke-38, sebelum dia sendiri mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Lot Abu Hassan pada minit ke-58 untuk kedudukan 2-0 buat tuan rumah.

Penyerang Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh mengurangkan defisit buat Selangor pada minit ke-86, namun jaringan itu belum cukup untuk menafikan kemenangan PDRM yang berjaya mencipta kejutan menundukkan pendahulu Liga Super itu, sekali gus menyertai JDT ke kelompok lapan terbaik.

Keputusan:

Johor Darul Ta'zim 4 (Azinee Taib, m-5; Amri Yahyah 10 (penalti); Jorge Pereyra Diaz 63, 90+1) Negeri Sembilan 1 (Andrew Nabbout,m-66)

PDRM 2 (Ahmad Nizam Rodzi m-38; Safuwan Baharudin m-58) Selangor 1 (Patrick Ronaldinho Wleh,m- 86)

Berita Harian X