Isnin, 29 Februari 2016 | 6:14pm

Malaysia perlu program pembangunan ping Pong

PEMAIN kebangsaan, Leong Chee Feng beraksi menentang pasukan nombor dua dunia, Jerman, pada Kejohanan Ping Pong Antarabangsa (WTTC) 2016 di Stadium Malawati di Shah Alam. - Foto BERNAMA
PEMAIN kebangsaan, Leong Chee Feng beraksi menentang pasukan nombor dua dunia, Jerman, pada Kejohanan Ping Pong Antarabangsa (WTTC) 2016 di Stadium Malawati di Shah Alam. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: "Malaysia perlu mempunyai program pembangunan ping pong yang lebih baik untuk membolehkannya bersaing dengan pasukan gergasi sukan itu."

Demikian reaksi pemain kebangsaan, Leong Chee Feng, selepas skuad kebangsaan kalah 0-3 kepada pasukan nombor dua dunia, Jerman, pada Kejohanan Ping Pong Antarabangsa (WTTC) 2016 di Stadium Malawati di sini.

Pemain berusia 18 tahun itu berpendapat Malaysia perlu memberi lebih banyak tumpuan terhadap sukan berkenaan sekiranya ia ingin mencapai tahap setanding dengan pasukan gergasi dunia seperti China, Jerman, Jepun dan Korea Selatan.

"Saya rasa, program pembangunan kita tidak begitu baik berbanding negara lain. Apabila lebih banyak tumpuan hanya diberi kepada sukan lain, seperti badminton, maka standard ping pong semakin menurun.

"Pada 1973, pasukan lelaki menduduki tempat ke-18 dalam kejohanan dunia, tapi sekarang, kita terkial-kial dan pada kejohanan dunia lepas, kita hanya menduduki tempat ke-6," kata anggota pasukan Sukan SEA 2015 negara yang memenangi pingat gangsa ini.

Edisi tahun ini adalah kejohanan dunia ketiga yang disertai bekas pelajar SMJK Katholik, Petaling Jaya, ini, yang mula bermain ping pong ketika berusia lapan tahun.

Walaupun bercita-cita tinggi, Chee Feng, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), merancang menangguhkan dahulu pengajiannya bagi memberi tumpuan terhadap ping pong.

"Sebenarnya, saya bercita-cita untuk menjadi juruterbang, tapi, buat masa ini, saya ingin membabitkan diri sepenuhnya dalam permainan ping pong selama dua tahun," katanya sambil menambah bahawa penubuhan akademi dan liga ping pong mungkin boleh membantu memajukan sukan itu di Malaysia.

Skuad Malaysia, yang mengambil bahagian dalam Divisyen Tiga Kejohanan Dunia Tokyo 2014, diberi peluang untuk berdamping dengan pasukan terbaik dunia dalam Divisyen Satu, yang juga dikenali sebagai Divisyen Kejohanan, kerana kedudukannya sebagai hos acara berkenaan.

Keadaan bertambah rumit bagi skuad kebangsaan apabila mereka diundi untuk bermain dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan gergasi Eropah iaitu Jerman dan Sweden serta Perancis, Denmark dan England, yang merupakan penyandang gelaran juara bagi beberapa kejohanan di Eropah.

Terdahulu, Steffen Mengel mengalahkan Muhamad Ashraf Haiqal 11-2, 11-4 dan 11-2, manakala Ruwen Filus mengetepikan Chee Feng dengan mata 11-7, 11-4, 11-7. Ini diikuti kemenangan Timo Boll 11-6, 11-5 dan 11-9 terhadap Muhd Sakirin Ibrahim.

Skuad Malaysia, yang kalah 0-3 kepada Perancis semalam, akan menentang Sweden pada pusingan ketiga.

Sesi latihan selama tiga minggu di Zhengding, yang adalah gelanggang ping pong China, menyaksikan beberapa penambahbaikan terhadap pasukan Malaysia, tetapi ia tidak mencukupi untuk mereka bersaing dengan pasukan gergasi dalam Divisyen Satu. - BERNAMA

Berita Harian X