Sabtu, 27 Februari 2016 | 10:35am
PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri (kanan) berkata sesuatu kepada Riyad Mahrez.
PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri (kanan) berkata sesuatu kepada Riyad Mahrez.

Ranieri rela Mahrez tinggalkan Leicester

LEICESTER: Claudio Ranieri memberi lampu hijau kepada Riyad Mahrez untuk meninggalkan Leicester City dan menyertai gergasi Eropah pada musim panas ini.

Ranieri tidak akan menghalang jika penyerangnya itu berhasrat untuk mencari angin baharu, dengan Barcelona dan Real Madrid muncul sebagai destinasi berpotensi menjelang musim depan.

Mahrez menandatangani kontrak selama empat tahun pada Ogos lalu tetapi terdapat khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan selepas bintang berusia 25 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang.

Barca sudah menghantar pencari bakat untuk menilai prestasi pemain terbabit dengan Mahrez mengakui impiannya adalah untuk beraksi di Nou Camp bersama pemain idolanya, Lionel Messi.

Leicester difahamkan menuntut STG25 juta (RM145 juta) ke atas pemain yang bakatnya dikesan ketua pencari bakat, Steve Walsh tatkala dia bermain buat pasukan divisyen dua liga Perancis, Le Havre.

"Kami seboleh-bolehnya mahu menyimpan semua pemain. Kami percaya pada mereka. Tetapi jika pemain datang dan berkata: "Bos saya mahu pergi kerana ia adalah impian saya. Saya akan berkata: "Pergi dan semoga berjaya," katanya.

- Agensi

Berita Harian X