Ahad, 14 Februari 2016 | 10:21pm

Mohd Farizal dapat tajaan sarung tangan

FARIZAL mendapat tajaan selama setahun untuk kelengkapan sarung tangan latihan dan permainan bernilai RM10,000. - Foto Hairul Anuar Rahim
FARIZAL mendapat tajaan selama setahun untuk kelengkapan sarung tangan latihan dan permainan bernilai RM10,000. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Selepas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan mendapat tajaan sarung tangan, kini giliran Mohd Farizal Marlias pula diberi penghormatan untuk memakai sarung tangan jenama FAT GK.

Mohd Farizal yang mendapat tajaan selama setahun untuk kelengkapan sarung tangan latihan dan permainan bernilai RM10,000, jelas teruja selepas menjadi penjaga gol kedua di Malaysia mendapat penajaan produk syarikat berkenaan.

"Ia adalah kali pertama saya ditaja khas untuk sarung tangan FAT GK. Sebelum ini, sarung tangan jenama berlainan dan bukan khusus untuk diri saya.

"Perbezaan sarung tangan ini, ia adalah produk khas yang dibuat untuk penggunaan penjaga gol dan berkualiti selain setanding dengan jenama terkenal.

"Sebenarnya di Malaysia untuk mendapatkan sarung tangan yang berkualiti agak sukar memandang kebanyakan yang ada di negara ini kategorikan sebagai gred kedua atau ketiga dan ia tidak sesuai untuk digunakan pada perlawanan," katanya kepada BH Sukan selepas majlis ringkas menandatangani kontrak penajaan sarung tangan FAT GK.

Mohd Farizal berkata, ketika sesi latihan bersama JDT beberapa minggu lalu, dia sudah menggunakan sarung tangan FAT GK dan yakin dengan kualiti serta ketahanan produk berkenaan.

Beliau juga berharap penajaan sarung tangan berkenaan bukan sekadar untuk tempoh setahun sahaja, sebaliknya berterusan.

Malah, beliau berharap syarikat berkenaan akan menaja beberapa penjaga gol lain yang beraksi di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Syarikat FAT GK yang ditubuhkan jurulatih penjaga gol di Indonesia, Franky Adi Thama sebelum ini menaja Izham Tarmizi selama setahun bermula Januari lalu.

Berita Harian X