Jumaat, 12 Februari 2016 | 2:57pm

Lucero tekad dakap Piala Sumbangsih esok

PEMAIN import baharu JDT, Juan Martin Lucero (kiri) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN import baharu JDT, Juan Martin Lucero (kiri) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Pemain import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Juan Martin Lucero tampak sudah bersedia untuk tampil pada aksi pertama menentang Selangor dalam pertembungan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Bekas pemain kelab Atletico Independiente itu turut mengesahkan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengakui betapa dirinya berada pada tahap kecergasan memuaskan biarpun baharu tiba dari Argentina, kelmarin selepas menempuh penerbangan lebih 28 jam.

Katanya, sebelum menyertai JDT, dia membuat penampilan terakhir bersama kelabnya pada aksi Liga Primera menentang Atletico Belgrano dan beraksi selama 70 minit bergandingan bersama pemain kebangsaan Uruguay, Cristian Gabriel Rodríguez Barotti.

"Pertama kali saya berpindah ke kelab di luar Argentina dan saya amat teruja apabila JDT menawarkan kontrak untuk menyertai kelab berkenaan malah tidak sabar untuk bergandingan kembali bersama Jorge Pereyra Diaz.

"Ketika Pereyra Diaz bersama kelab Independiente selaku pemain pinjaman selama enam bulan, dia memberi maklumat terperinci mengenai JDT dan ia menyebabkan saya memilih kelab itu yang begitu terkenal di Asia.

"Sama ada saya akan diturunkan pada aksi pertama menentang Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih terserah kepada ketua jurulatih, Mario Gomez namun keinginan untuk berada dalam kesebelasan utama amat tinggi," kata Lucero kepada BH Sukan.

Dalam pada itu, Gomez optimis Lucero mampu menguatkan jentera serangan bergandingan bersama Pereyra Diaz tatkala kedua-dua pemain itu sudah beraksi dan menjalani latihan ketika di kelab Atletico Independiente.

Katanya, Lucero adalah pemain muda dan berkebolehan serta memiliki skil tinggi dan kehadiran pemain itu bakal menambah kekuatan serangan skuad Harimau Selatan mengharungi kempen Liga Super dan saingan Piala AFC.

"Lucero pemain yang baik dan pernah beraksi bersama Pereyra Diaz malah kedua-dua pemain itu memahami corak permainan masing-masing. Ia memberi ruang kepada saya membentuk gandingan mantap.

"Apa yang saya lihat, Lucero perlu memahami corak permainan bola sepak di Malaysia dan sekurang-kurangnya dua atau tiga perlawanan untuk menyesuaikan diri dan kemungkinan saya akan menurunkannya pada aksi menentang Selangor, malam esok," kata Gomez.

Biodata

Juan Martin Lucero

Tarikah lahir: 30 November 1991

Umur: 24 tahun

Tempat lahir: Mendoza, Argentina

Tinggi: 1.79 meter

Posisi: Penyerang

Kelab:

2006-2009 Defensa y Justicia

2010-2014 Defensa y Justicia

2014-2015 Independiente

2016- JDT

Berita Harian X