Selasa, 9 Februari 2016 | 11:42pm

JDT sahkan bintang Independiente ganti Rangel

Juan Martin Lucero. - Foto ihsan laman rasmi Johor Southern Tigers
Juan Martin Lucero. - Foto ihsan laman rasmi Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan Juan Martin Lucero sebagai pemain import baharu bagi menggantikan Paulo Rangel, yang kini menyertai Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam entri terbaharu di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, memaklumkan penyerang kelab Liga Primera Argentina, Independiente, berusia 24 tahun itu akan tiba di Johor Bahru dan menjalani latihan bersama skuad itu, malam esok.

"Saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf atas kelewatan mengumumkan pemain import keempat JDT kerana kami tidak boleh membuat sebarang pengumuman tanpa kertas kerja atau pengesahan.

"JDT berjaya menandatangani Juan Martin Lucero dari Independiente. Walaupun ada beberapa pilihan pemain, kami percaya dia pemain paling sesuai.

"Sebelum membuat keputusan mendapatkan khidmat Lucero, saya mengadakan perbincangan bersama ketua jurulatih, Mario Gomez, Pengarah Sukan, Allistair Edwards, ejen kelab JDT, Martin Prest, termasuk Nasir Yusof dan rumusannya pemain itu calon tepat untuk JDT," kata Tunku Ismail.

Walaupun tidak mengumumkan yuran perpindahan Lucero, difahamkan nilai pemain itu mencecah RM6 juta dan turut mendapat tawaran beraksi bersama kelab ternama Uruguay, Club Atletico Penarol.

Langkah JDT itu dilihat tepat kerana Lucero pernah beraksi bersama Jorge Pereyra Diaz ketika pemain itu dipinjamkan oleh JDT kepada kelab Independiente musim lalu.

Berita Harian X