Khamis, 4 Februari 2016 | 12:13pm

Gomez tetap tabik pemain JDT

GAMBAR fail, ketua jurulatih JDT, Mario Gomez (dua dari kiri) bersalaman dengan ketua jurulatih Muangthong United FC,, Totchtawan Sripan (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Hariss Harun (kiri) dan Kawin Thamsatchanan selepas sidang media aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok , Thailand pada 1 Februari lalu. - Foto Johor Southern Tigers
GAMBAR fail, ketua jurulatih JDT, Mario Gomez (dua dari kiri) bersalaman dengan ketua jurulatih Muangthong United FC,, Totchtawan Sripan (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Hariss Harun (kiri) dan Kawin Thamsatchanan selepas sidang media aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok , Thailand pada 1 Februari lalu. - Foto Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Biarpun misi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tersekat, ketua jurulatihnya, Mario Gomez tetap memuji persembahan anak didiknya.

Skuad yang bergelar Harimau Selatan itu terpaksa akur dengan kekalahan 3-0 kepada Muangthong United FC menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan kedua kelayakan ACL di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, Thailand, Selasa lalu.

Gomez menyifatkan persembahan kesebelasan pemain JDT yang diturunkan pada aksi kalah mati itu menunjukkan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan sehingga mengheret ke masa tambahan dan seterusnya penentuan penalti.

"Kita beraksi dengan baik sepanjang 120 minit sehingga memaksa Muangthong United FC bagaikan 'bermandi peluh', namun pengakhiran agak menyedihkan apabila kemaraan kita dihalang menerusi sepakan penalti.

"Apa pun saya puji pemain JDT yang berjuang habis-habisan sehingga tamat perlawanan dan tidak dinafikan penjaga gol lawan, Kawin Thamsatchanan berada pada tahap permainan terbaik untuk menidakkan tiga sepakan penalti pemain saya.

"Kita tidak bernasib baik apabila tewas menerusi sepakan penalti malah dalam situasi itu peluang seimbang antara pemain 50 peratus dan penjaga gol 50 peratus, selain bergantung kepada ketenangan serta kecekapan," katanya

Walaupun ia kekalahan kedua buat skuad Harimau Selatan untuk dua musim berturut pada saingan itu selepas musim lalu tewas 3-0 kepada Bangkok Glass FC, Gomez mengakui ada peningkatan mendadak dipamerkan setiap pemainnya.

Malah, katanya, setiap posisi bermula dari penjaga gol yang dikawal Mohd Farizal Marlias dan pertahanan menerusi gandingan Marcos Antonio serta Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya bertindak cemerlang mengekang penguasaan skuad bimbingan Totchtawan Sripan.

"Posisi tengah gandingan Safiq Rahim dan Hariss Harun juga berjaya mempamerkan aksi konsisten sehingga sukar untuk barisan tengah lawan mengatur langkah. Kita juga memiliki peluang mencipta jaringan namun penjaga gol (Kawin) kebal menjaga gawang.

"Kini tumpuan saya untuk memperkemaskan lagi skuad itu mengharungi kempen Liga Super selain persiapan Piala AFC tatkala kita selaku juara bertahan perlu tampil lebih mantap pada musim ini," kata Gomez.

Berita Harian X