Rabu, 3 Februari 2016 | 9:29pm

UMW teruskan tajaan golf anjuran PGM

KETUA Pengarah Operasi Kumpulan UMW, Azmin Che Yusoff (kanan) menyampaikan replika cek tajaan Kejuaraan Golf PGM-UMW Templer Park kepada Pengurus Besar PGM, Mior Abdul Rahman.
KETUA Pengarah Operasi Kumpulan UMW, Azmin Che Yusoff (kanan) menyampaikan replika cek tajaan Kejuaraan Golf PGM-UMW Templer Park kepada Pengurus Besar PGM, Mior Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Berhad (UMW) menaja sebanyak RM333,333.33 kepada Profesional Golf of Malaysia (PGM) untuk penganjuran Kejuaraan Golf PGM-UMW yang berlangsung di Templer Park Country Club, dekat sini, mulai hari ini.

Sumbangan penajaan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Operasi Kumpulan UMW, Azmin Che Yusoff kepada Pengurus Besar PGM, Mior Abdul Rahman di kelab golf berkenaan.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMW, Datuk Mohd Nizam Zainordin dan Pengarah PGM, M Ramayah.

UMW mula menaja Kejohanan Golf PGM-UMW dari tahun 2011 sebanyak RM1 juta ringgit yang dibayar secara berkala sehingga tahun 2013.

Penajaan itu disambung selama tiga tahun lagi bermula dari tahun 2014 sehingga tahun ini dengan jumlah sama RM333,333.33 setiap tahun.

Penajaan ini adalah satu daripada sumbangan UMW sebagai sebuah badan korporat yang memainkan peranan mendukung aspirasi kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Bertitik tolak dari penajaan UMW, PGM Tour semakin berkembang dan sudah melihat kemunculan beberapa bakat baru dalam arena sukan golf.

Berita Harian X