Selasa, 2 Februari 2016 | 6:25pm

Al-Ikhsan taja skuad Bos Gaurus

IPOH: Syarikat menjual kelengkapan sukan, Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd meneruskan tradisi menaja Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebanyak RM500,000 bagi memperkuat kemampuan skuad The Bos Gaurus menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Timbalan Pengurus Besar Al-Ikhsan, Norita Mohd Noor, berkata kerjasama baik antara kedua-dua pihak musim lalu mendorong syarikat itu untuk sekali lagi menaja PAFA tahun ini.

"Pada tahun lepas, ia (tajaan) adalah satu percubaan dan kami mendapat kerjasama yang baik daripada PAFA, sebab itu kami mahu meneruskan tajaan ini.

"Tahun ini kami tingkatkan jumlah tajaan daripada RM250,000 kepada RM500,000," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sesi Bertemu Peminat dan pelancaran jersi baharu Perak di cawangan Al-Ikhsan di Ipoh Parade, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAFA merangkap Pengurus Pasukan The Bos Gaurus, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Norita berkata, selain menaja pasukan Liga Super, pihaknya menaja pasukan yang bermain untuk Piala Presiden, pasukan belia bawah 19 tahun, pasukan bola sepak wanita serta pasukan futsal lelaki dan wanita.

Sementara itu, Shahrul Zaman mengucapkan terima kasih kepada Al-Ikhsan kerana terus menaja kelengkapan sukan untuk pemain bola sepak Perak.

"Saya berharap ini adalah satu inisiatif untuk kami meneruskan perkongsian pintar antara Al-Ikhsan dengan PAFA.

"Ada yang mengkritik kenapa kami tidak menggunakan jenama-jenama yang terkenal, namun ini adalah tanggungjawab kami untuk mempromosikan jenama tempatan," katanya.

Sementara itu, kira-kira 200 penyokong bola sepak Perak hadir pada majlis itu untuk mendapatkan tanda tangan serta bergambar bersama-sama pemain The Bos Gaurus.

- BERNAMA

Berita Harian X