Selasa, 26 Januari 2016 | 10:59am

JDT mahu uji kekuatan jumpa Geylang

PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak.
PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak.

JOHOR BAHRU: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan aksi persahabatan menentang kelab Liga Singapura (Liga S), Geylang International FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini amat penting dan bukan sekadar pemanas badan.

Aidil Zafuan berkata, perlawanan itu mampu membentuk kombinasi terbaik tatkala membuat persiapan terakhir menjelang pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Muangthong United FC di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, Thailand, 2 Februari ini.

Dia yang sudah tiga musim bersama skuad Harimau Selatan berharap semua pemain yang akan diturunkan pada perlawanan itu memberi persembahan terbaik dan mempraktikkan segala taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Mario Gomez sepanjang sesi latihan serta dua aksi persahabatan di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

"Kami tidak anggap ia aksi persahabatan. Ia perlawanan penting untuk dijadikan medan terbaik membentuk kombinasi mantap dan mempratikkan taktikal yang diterapkan jurulatih.

"Pada dua aksi persahabatan di Thailand itu, kita menang sekali dan tewas pada aksi berikutnya, namun bagi saya sama ada menang atau kalah, bukan boleh dijadikan ukuran kerana ketika itu jurulatih sedang mencari kombinasi terbaik tatkala beberapa pemain baharu berada dalam skuad JDT," katanya.

Bagi Aidil Zafuan, persiapan pada musim ini berjaya menyuntik semangat buat pasukan untuk berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan kejuaraan Liga Super dan mengintai peluang untuk layak beraksi di pentas ACL buat pertama kali dalam sejarah.

Malah, dia juga meletakkan sasaran untuk menempatkan JDT bersaing di kancah ACL biarpun perlu berdepan ranjau berduri tatkala menentang kelab ternama dari Thailand

Pada aksi kelayakan ACL musim lalu, langkah JDT tersekat selepas tewas 3-0 kepada Bangkok Glass pada pusingan pertama dan kini berstatus juara Piala AFC, JDT tidak perlu mengharungi pusingan pertama sebaliknya terus ke pusingan kedua.

Jika melepasi pusingan itu, kelab dari China, Shanghai SIPG menjadi rintangan pada pusingan ketiga.

"Aksi terakhir persahabatan menentang kelab dari Singapura, malam ini sememangnya dinantikan. Kami sudah bersedia dengan rentak permainan yang dibentuk oleh Gomez selepas menjalani latihan intensif sebaik pulang dari Thailand," kata Aidil Zafuan.

Berita Harian X