Sabtu, 16 Januari 2016 | 8:48am

Alex mahu 'pikat' Gomez di Bangkok

Pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Azamuddin Akil.
Pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Azamuddin Akil.

JOHOR BAHRU: Pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Azamuddin Akil bertekad untuk memperagakan aksi terbaik sepanjang aksi persahabatan pra musim di Bangkok, mulai Ahad ini.

Selepas menabur bakti selama empat musim bersama Pahang, pemain yang sinonim dengan panggilan Alex itu jelas tidak sabar lagi untuk memikat hati ketua jurulatih Mario Gomez.

Katanya, aksi persahabatan menentang Chonburi FC pada Ahad ini, diikuti menentang BBCU FC, dua hari kemudian amat penting untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan Gomez.

"Sepanjang seminggu lebih menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih (Gomez), saya dapat rasa perbezaan dan kelainan kerana Gomez yang memberi penekanan kepada corak permainan tersusun serta pantas.

"Justeru, aksi di Bangkok nanti amat penting untuk saya berusaha memikat hati Gomez walaupun saya akui saingan begitu hebat bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama tetapi ia tampak positif tatkala masing-masing perlu bekerja keras," katanya.

Azamuddin juga mengakui tidak kekok apabila berlatih bersama rakan sepasukan memandangkan beberapa pemain seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohd Amri Yahyah, Safee Sali, S Kunanlan dan Mohd Fadhli Shas pernah beraksi bersamanya dalam skuad kebangsaan.

Tambahnya, kelebihan itu akan digunakan sepenuhnya untuk memperagakan aksi terbaik bagi membentuk kombinasi terbaik bagi menguatkan lagi skuad JDT mengharungi kempen Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Sebagai pemain baharu, tentunya saya ingin berada dalam skuad utama malah meletak sasaran untuk membantu JDT mengekalkan kejuaraan liga dan menang aksi Piala Sumbangsih, 13 Februari depan," katanya.

Berita Harian X