Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:20am
Bekas pemain kebangsaan, K Yogendran (tengah).
Bekas pemain kebangsaan, K Yogendran (tengah).

Yogendran anggap Wei Feng lembik

PEMAIN perseorangan lelaki Kepong BC Chong Wei Feng (kanan) beraksi ketika menentang pemain Petaling Jaya BC K. Yogendran pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara- Juara Resort World Genting 2016 di Arena of Stars, semalam. - Foto BERNAMA
PEMAIN perseorangan lelaki Kepong BC Chong Wei Feng (kanan) beraksi ketika menentang pemain Petaling Jaya BC K. Yogendran pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara- Juara Resort World Genting 2016 di Arena of Stars, semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, K Yogendran mengkritik barisan pemain perseorangan lelaki negara yang disifatkan tidak menunjukkan sebarang peningkatan langsung.

Mengambil contoh pertemuannya dengan Chong Wei Feng dalam saingan Cabaran Juara-Juara Purple League, kelmarin, Yogendran, berkata pemain perseorangan kedua terbaik negara itu sepatutnya tidak berdepan kesukaran untuk menewaskannya.

"Saya sudah setahun tidak bermain dalam mana-mana kejohanan tetapi apa yang saya boleh katakan, saya tidak nampak ada perbezaan atau peningkatan ditunjukkan pemain negara. Ini situasi yang memalukan.

Wei Feng adalah pemain nombor dua negara tetapi cara permainan dia tidak berubah. Saya sudah berusia 34 tahun dan tidak menjalani latihan langsung kerana fokus dengan bidang kejurulatihan tetapi menentang Wei Feng dia masih bergelut untuk menewaskan saya.

"Soo Teck Zhi juga begitu ketika dia berdepan Muhamad Hafiz Hashim yang seusia dengan saya, dia bergelut untuk menang. Kalau begini, lebih baik saya dengan Hafiz kembali fokus menjalani latihan sepenuhnya dan mungkin jadi lebih bagus daripada mereka, sepatutnya mereka menang dengan kami dengan mudah," kata Yogendran.

Wei Feng yang mewakili Kepong BC bagaimanapun mencatat kemenangan ke atas Yogendran yang beraksi untuk PJ BC 5-11, 9-11, 11-7, 11-8, 11-5.

"Namun, kredit boleh diberikan kepada Wei Feng kerana biarpun dia ketinggalan 0-2 tetapi dia berjaya bangkit. Saya puji semangatnya tetapi dia sebenarnya tidak perlu bergelut untuk menang ke atas saya," kata Yogendran yang bersama skuad kebangsaan dari 2002 hingga 2007.

Berita Harian X