Ahad, 10 Januari 2016 | 7:58am

Diaz kembali sertai latihan persiapan JDT

 JORGE Pereyra Diaz.
JORGE Pereyra Diaz.

KUALA LUMPUR: Penyerang import Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz, sudah kembali ke tanah air dan menyertai sesi latihan pasukan Juara Liga Super itu, semalam.

Kepulangan ke tanah air disahkan menerusi laman sosial rasmi pasukan terbabit, Johor Southern Tigers, lewat malam tadi.

Dengan kehadiran penyerang berusia 26 tahun itu sedikit sebanyak melegakan hati pengendali pasukan, Mario Gomez, untuk mempersiapkan pasukan menjelang sepak mula liga yang bakal berlangsung, bulan hadapan.

Jadi, kehadirannya pada sesi latihan itu juga dapat membantu Gomez membentuk pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan liga musim ini.

Malah, kehadirannya pada sesi latihan di Padang Seri Gelam juga amat dinanti-nantikan peminat Harimau Selatan itu yang tidak sabar menunggu untuk melihat penyerang kelahiran Argentina itu beraksi.

Pastinya tumpuan juga akan lebih terarah kepada ayam tambatan pasukan itu yang bakal bergandingan dengan seorang lagi penjaring prolifik, Paulo Rangel dalam pemburuan mereka mengekalkan trofi yang sudah dimenangi mereka musim lalu.

Selain itu, kombinasi dua penyerang berbisa ini juga akan ditagih bagi JDT merampas Piala FA dan juga Piala Malaysia pada saingan Liga Malaysia (Liga M) selain memburu slot ke Liga Juara-Juara Asia, musim ini.

Berita Harian X