Sabtu, 2 Januari 2016 | 5:24pm

Vardy perlu rehat - Ranieri

Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri (kanan) bersama penjaring terbanyak, Jamie Vardy.
Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri (kanan) bersama penjaring terbanyak, Jamie Vardy.

LONDON: Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, bersedia merehatkan penjaring terbanyak mereka, Jamie Vardy, sambil mengharapkan pencabar mereka yang lain mencatat keputusan buruk pada perlawanan akan datang.

Ranieri mahu mengambil langkah sedemikian selepas penjaring 15 gol dalam liga itu bermain sepanjang musim ini dengan beberapa kecederaan yang dialaminya.

Vardy baru sahaja pulih daripada jangkitan virus minggu lalu namun dia pernah bermain dengan pergelangan tangan yang patah dan kecederaan di buku lali pada musim ini.

Dia dijangka akan diletakkan sebagai pemain utama pada perlawanan menentang Bournemouth, malam ini, namun Ranieri masih memikirkan waktu yang sesuai untuk merehatkan penjaring terbanyak pasukan mereka itu.

"Bila saya dapat fikirkan masa yang sesuai, saya akan rehatkan dia daripada bermain. Namun buat masa ini, dia tidak perlukan rehat kerana saya mahu dia meneruskan momentumnya.

"Dia mengalami masalah beberapa bulan lalu dan dia juga tidak berlatih setiap hari. Minggu lalu dia mengalami demam jadi kecergasannya belum mencapai 100 peratus lagi.

"Berada di puncak liga pula satu perkara yang berlainan. Kami perlu meneruskan momentum ini kerana persembahan kami sedikit sebanyak mendatangkan tekanan pada pasukan lain.

"Kami akan teruskan untuk pergi lebih jauh, asalkan kami tidak tersingkir dan juga terus kekal berada di tangga teratas liga," katanya.

Berita Harian X