Selasa, 29 Disember 2015 | 9:17am

Selangor terpikat sentuhan Ronaldinho

PATRICK Ronaldinho. - Foto Goh Thean Howe
PATRICK Ronaldinho. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: 'Ayam tambatan' PKNS FC, Patrick Ronaldinho hampir pasti menyarung jersi Selangor musim depan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Guilherme de Paula.

Selain penyerang Liberia itu, Selangor juga sedang berusaha mendapatkan khidmat seorang lagi pemain import yang dikatakan beraksi di Liga Arab Saudi bagi memenuhi empat kuota pemain import mereka.

Pengurus pasukan The Red Giants, Amirudin Shari menjelaskan status berkenaan dua pemain import Selangor dijangka akan diketahui dalam masa terdekat selepas Robert Cornthwaite dan Andik Vermansyah sah kekal bersama pasukan itu.

"Memang dari awal lagi kami sudah memikirkan untuk melihat kelibat Ronaldinho bersama kami musim depan memandangkan Selangor juga akan menempuh saingan lebih mencabar di Piala AFC.

"Saya boleh mengesahkan memang kami berbincang dengan Ronaldinho untuk dibawa ke Selangor. Namun ia belum muktamad kerana ia masih dalam perbincangan.

"Malah, kami perlu melihat kepada semua aspek sebelum mengumumkan keputusan," katanya sambil mengakui ketajaman penyudah Ronaldinho sangat ditagih sekiranya pemain itu sah bersama Selangor.

Selangor yang dilihat lebih serius untuk menghadapi saingan musim depan sudah mendapatkan khidmat empat pemain tempatan dari Pahang termasuk Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid (penjaga gol), Mohd Razman Roslan (pertahanan) dan dua pemain tengah R Gopinathan serta Mohd Hafiz Kamal.

Malah, khabar angin kuat mengatakan Selangor juga akan mendapatkan khidmat bekas jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan bagi menggantikan Mehmet Durakovic.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula terus bermain teka-teki dengan Amirudin hanya menyatakan status jurulatih The Red Giants juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berita Harian X