Selasa, 22 Disember 2015 | 12:15pm

KRM mahu kekal dalam Liga Divisyen Satu ARC

PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mencari peruntukan tambahan bagi memantapkan pasukan negara untuk terus kekal dalam Liga Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia (ARC), tahun depan.

Presidennya, Datuk Wira Amiruddin Embi berkata, peruntukan sebanyak RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keseluruhan persatuan itu.

"Kami perlu menggunakan inisiatif lain sebagai persiapan awal kerana kami mahu menumpukan terhadap pasukan kebangsaan untuk kekal dalam divisyen satu.

"Selain itu, ia juga akan digunakan bagi tujuan pembangunan ragbi 15 Sebelah, 17 Sebelah, bawah 20 tahun dan 23 tahun. Apapun kami akan berjumpa dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Kepada Pemain dan Pegawai Ragbi di Kelab Cobra di sini, malam tadi.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata MRU bakal menerima peruntukan sebanyak RM1 juta tahun depan bagi membantu persatuan itu bertanding dalam Divisyen Satu ARC dan untuk persediaan temasya Sukan SEA 2017.

Berita Harian X