Sabtu, 19 Disember 2015 | 7:22pm

JDT masih cari pengganti Figueroa

LUCIANO Gabriel Figueroa. - Foto Osman Adnan
LUCIANO Gabriel Figueroa. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih menilai beberapa calon penyerang import berpotensi untuk menggantikan Luciano Figueroa untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya berkata pihaknya sedang mencari calon yang mampu memberi persembahan terbaik seperti yang dipamerkan penyerang dari Argentina itu sehingga membantu pasukan berkenaan meraih pelbagai kejayaan, musim ini.

"(Rakan senegera Figueroa), Jorge Pereyra Diaz akan kembali beraksi bersama kita musim depan, namun pengurusan masih mempertimbangkan sama ada mahu meletakkannya beraksi dalam saingan Liga M atau Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya.

Mohd Fahmy berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan pengendali JDT, Mario Gomez dari Argentina telah menyenarai pendek enam calon pengganti Figueroa, 34, yang sudah mengumumkan persaraannya dan mereka terdiri daripada pemain yang beraksi dalam Liga Eropah, China dan Amerika Selatan.

Berita Harian X