Khamis, 17 Disember 2015 | 4:21pm

Kurang bajet, tiada masalah: TMJ

KUALA LUMPUR: Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim optimis prestasi Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan terjejas musim depan sekalipun kehilangan dua penaja utama.

Malah beliau yakin tidak ada pemain yang akan meninggalkan JDT jika mereka memahami projek jangka panjang yang dilaksanakan pasukan Harimau Selatan itu.

"Prestasi pasukan takkan merosot dengan pengurangan kos perbelanjaan pasukan kerana ada persaingan yang kuat sesama sendiri untuk merebut tempat kesebelasan utama, malah pemain tidak akan berada di sini jika tidak memberi 100 peratus komitmen pada pasukan," katanya dalam laman web rasmi Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail juga mengesahkan JDT yang akan beraksi dalam kelayakan liga elit benua Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) Februari depan akan diperkuatkan kembali dengan kehadiran ayam tambatan importnya, Jorge Pereyra Diaz.

"Diaz akan kembali ke sini pada awal Januari tahun depan bersama pemain lain yang akan melaporkan diri untuk pasukan sebelum bersiap bagi perlawanan pra musim," katanya.

Sementara itu, pengendali JD, Mario Gomez, berkata mereka hanya akan mengumumkan senarai pemain pasukan yang menjuarai kejuaraan berganda musim ini pada pertengahan pra-musim ini.

"Kita dihujani pelbagai persoalan mengenai barisan pemain Harimau Selatan yang bakal menggalas cabaran pada musim hadapan, namun penyokong hanya akan dimaklumkan pada Januari nanti.

"Apa yang pasti, pemain yang bakal dipilih nanti adalah pemain terbaik dan menjadi pilihan pengurusan PBNJ," katanya.

Berita Harian X