Ahad, 6 Disember 2015 | 8:22am

Rekod Vardy tamat, Mahrez curi tumpuan

PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy (tengah) diasak pertahanan Swansea City, Kyle Bartley pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy (tengah) diasak pertahanan Swansea City, Kyle Bartley pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

LONDON: Rekod jaringan Jamie Vardy ditamatkan, namun cabaran Leicester City untuk gelaran Liga Perdana berterusan dengan hatrik Riyad Mahrez memastikan kemenangan 3-0 di Swansea City, yang meletakkan mereka di persada liga sebentar tadi.

Kekalahan mengejut Manchester City yang tewas 2-0 kepada Stoke City pada sepak mula awal membuka pintu buat Leicester untuk ke puncak selepas 15 perlawanan dan mereka membalasnya dengan gaya hebat di selatan Wales.

Mahrez menjaringkan dua gol dalam 22 minit awal dan kembali mendapatkan jaringan selepas rehat ketika Leicester kini mengumpul 32 mata, dua di depan Arsenal yang mendaki satu tangga di atas Manchester City selepas kemenangan 3-1 mengatasi Sunderland - Olivier Giroud menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan.

Vardy sudah menjaringkan 11 gol berturut-turut dalam Liga Perdana tetapi gagal menemui gawang di Stadium Liberty.

Vardy sedang berusaha untuk menyamai rekod 83 tahun Jimmy Dunne dalam liga teratas England dengan menjaringkan gol dalam 12 perlawanan, namun Mahrez lebih mencuri tumpuan.

Pemain sayap Algeria itu kini mengumpul 10 gol dalam kempen kali ini, meletakkannya berkongsi kedudukan kedua terbanyak di belakang 14 gol Vardy, seterusnya mengangkat kedudukan pasukan bimbingan Claudio Ranieri dua mata di kedudukan teratas. - Agensi

Berita Harian X