Isnin, 23 November 2015 | 2:59pm

Chelsea ke Israel untuk benam Macabi

PENGURUS pasukan, Jose Mourinho. - Foto REUTERS
PENGURUS pasukan, Jose Mourinho. - Foto REUTERS

TEL AVIV, Israel: Kelab Inggeris, Chelsea tetap membuat kunjungan ke Israel di sebalik kebimbangan mengenai tahap keselamatan di rantau itu dalam usaha mengesahkan tempat di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Maccabi Tel Aviv pada awal pagi Rabu.

Skuad bimbingan Jose Mourinho ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan G dan kemenangan ke atas Maccabi memastikan tiket ke peringkat seterusnya dengan syarat Dynamo Kiev tidak menang ke atas Porto.

"Saya fikir kamu hanya perlu bergantung kepada orang yang tahu lebih banyak mengenai situasi keseluruhan di sana berbanding saya untuk membuat keputusan yang betul," kata pertahanan Chelsea, Gary Cahill.

Chelsea ketika ini masih segar selepas menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Norwich City 1-0 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

Di sebalik kemenangan itu, Chelsea begitupun masih bergelut untuk memperoleh semula prestasi yang ditampilkan ketika menjuarai EPL musim lalu dengan beberapa bintangnya seperti Cesc Fabregas, Eden Hazard dan Diego Costa beraksi di bawah prestasi sebenar.

Begitupun bagi kapten pasukan, John Terry, dia gembira dengan kemenangan ke atas Norwich dan fokus pasukan itu ketika ini tertumpu kepada pertembungan menentang Maccabi di Haifa.

"Kami memperoleh tiga mata dalam EPL dan menukar fokus kepada Liga Juara-Juara sekali lagi," katanya.

Pada perlawanan pertama, Chelsea mencatat kemenangan 4-0 ke atas Maccabi di Stamford Bridge yang juga perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini. - AFP

Berita Harian X