Ahad, 22 November 2015 | 2:05am
PENYERANG Chelsea, Diego Costa (empat kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City di Stamford Bridge. - Foto AFP
PENYERANG Chelsea, Diego Costa (empat kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City di Stamford Bridge. - Foto AFP

Costa julang Chelsea, West Brom tumbangkan Arsenal

LONDON: Gol tunggal penyerang, Diego Costa pada babak kedua memberi kelegaan di Stamford Bridge sekali gus menghalang Chelsea daripada merekod kekalahan ketiga berturut-turut dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Norwich 1-0, malam tadi.

Begitupun, nasib berbeza dialami buat satu lagi pasukan gergasi Inggeris, Arsenal yang dikecewakan dengan kekalahan 2-1 kepada West Bromwich Albion di laman lawan dengan kemenangan tipis The Blues itu memberi sedikit kelegaan buat pengendalinya, Jose Mourinho.

Keadaan nampak positif buat barisan Mourinho yang terus mendapat sokongan pemilik kelab itu buat kali kedua musim ini dengan pemain bintangnya, termasuk Eden Hazard mula menampakkan perubahan yang positif.

Gol Costa dijaringkan pada minit ke-64 selepas penyerang Sepanyol itu menewaskan perangkap ofsaid Norwich sebelum mudah merembat gol ke gawang pelawat.

Kemenangan menyaksikan Chelsea mendaki satu anak tangga ke kedudukan 15 liga dengan mengumpul 14 mata.

Dalam pada itu, kekalahan Arsenal kepada West Brom menyaksikan skuad bimbingan Arsene Wenger itu terlepas peluang untuk menduduki kedudukan teratas liga.

Arsenal di depan menerusi jaringan penyerang, Olivier Giroud pada minit ke-28 namun ia pantas disamakan West Brom menerusi jaringan James Morrison pada minit ke-35.

Tuan rumah kemudian di depan pada minit ke-40 selepas pemain tengah Arsenal, Mikel Arteta menjaringkan gol sendiri.

Arsenal mungkin berpeluang untuk membawa pulang satu mata namun Santi Cazorla melepaskan peluang terbaik apabila sepakan penaltinya gagal menerjah gawang West Brom pada minit-minit terakhir permainan.

Dalam pada itu, penyerang Leicester, Jamie Vardy menyamai rekod di EPL apabila meledak gol dalam perlawanan ke-10 berturut-turut ketika membenam Newcastle 3-0.

Kesemua perlawanan malam tadi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Perancis 'La Marseillaise' bagi menghormati tragedi yang berlaku di Paris, minggu lalu. - AGENSI

Berita Harian X