X
Isnin, 9 November 2015 | 2:56pm

Wenger suka bila Giroud marah

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger (kiri) gembira dengan kekecewaan yang diluahkan penyerangnya, Olivier Giroud. - Foto Reuters
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger (kiri) gembira dengan kekecewaan yang diluahkan penyerangnya, Olivier Giroud. - Foto Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger gembira dengan kekecewaan yang diluahkan penyerangnya, Olivier Giroud selepas mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Tottenham Hotspurs dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Penyerang kelahiran Perancis, Giroud sejurus perlawanan mengakui 'amat berang' dengan prestasinya selepas mensia-siakan beberapa peluang terbaik dengan Arsenal terpaksa memburu jaringan penyamaan selepas terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Harry Kane.

Kane meledak gol pada minit ke-33 sebelum ia disamakan Arsenal menerusi pemain gantian, Kieran Gibbs pada minit ke-77 menyaksikan kedua-dua kelab tetangga London itu berkongsi satu mata.

Begitupun, berbanding berang terhadap prestasi penyerangnya itu, Wenger berkata; "Saya gembira. Apabila kamu melihat pemain yang gembira dia terlepas peluang, kamu boleh bimbang.

"Dia adalah penjaring gol yang sejati dan dia bekerja keras.

"Dalam dua perlawanan, di Bayern (Arsenal tewas 5-1) dan malam ini, sekali lagi, Giroud bekerja amat keras. Saya fikir dia terlalu mahu menjaringkan gol.

"Terutama ketika peluang yang diperolehnya daripada jarak enam kaki (namun tandukannya sedikit tersasar). Begitupun, perkara seperti itu boleh berlaku. Saya menerimanya," kata pengurus kelahiran Perancis itu.

Dalam pada itu, Wenger turut memuji sumbangan yang ditampilkan penjaga golnya, Petr Cech yang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Spurs menerusi Christian Eriksen dan Toby Alderweireld.

Kapten Chelsea, John Terry sebelum ini menjangkakan Cech tidak akan memainkan peranan penting bersama skuad Wenger namun pengendali itu jelas tidak bersetuju.

Keputusan seri menyaksikan Arsenal kekal di kedudukan kedua EPL selepas berkongsi 26 mata bersama pendahulu, Manchester City. - AFP

Berita Harian X