Jumaat, 30 Oktober 2015 | 10:29am

Sukan antarabangsa tarikan Tahun Melawat Kedah 2016

MENTERI Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
MENTERI Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

LANGKAWI: Acara sukan bertaraf antarabangsa adalah antara aktiviti tarikan pelancong yang sedang dikaji untuk disenaraikan bersempena Tahun Melawat Kedah 2016, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, acara sukan antarabangsa yang pernah dianjurkan sebelum ini terbukti mampu menarik ramai pelancong khususnya apabila diadakan di Langkawi.

"Langkawi yang sudah dikenali sebagai pulau pelancongan yang unggul mampu menjadi destinasi sukan bertaraf antarabangsa dan seterusnya menjayakan Tahun Melawat Kedah 2016," katanya selepas merasmikan Kejohanan Paintball Piala Dunia (PWC) 2015 di sini malam tadi.

Beliau berkata pemilihan Langkawi sebagai lokasi kejohanan PWC tahun ini adalah satu penghormatan yang turut dikongsi Kedah secara keseluruhan dan beliau yakin acara itu mampu menarik ramai pelancong.

Sebanyak 138 pasukan dari 24 buah negara termasuk Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Nepal, Mexico, Kuwait, Iran, Norway dan Sweden mengambil bahagian dalam kejohanan empat hari yang bermula semalam.

-- BERNAMA

Berita Harian X