Isnin, 26 Oktober 2015 | 4:45pm

MotoGP di Sepang `perlumbaan terbaik dekad ini'

PELUMBA dari pasukan Repsol Honda, Marc Marquez bersaing sengit bersama Valentino Rossi dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP dalam kategori MotoGP pada perlumbaan motorsikal Grand Prix Shell Malaysia 2015 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Asyraf Hamzah
PELUMBA dari pasukan Repsol Honda, Marc Marquez bersaing sengit bersama Valentino Rossi dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP dalam kategori MotoGP pada perlumbaan motorsikal Grand Prix Shell Malaysia 2015 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Insiden membabitkan Valentino Rossi dari Itali dan Marc Marquez (Sepanyol) ketika perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia semalam, menjadikan saingan itu sebagai perlumbaan paling kontroversi musim ini.

Saingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang itu adalah perlumbaan yang ditunggu-tunggu kerana aksi sengit antara Rossi, selaku pendahulu kedudukan keseluruhan dunia dan juara bertahan, Marquez.

Perlumbaan itu disaksikan oleh lebih 80,000 penonton.

Berikutan saingan sengit itu, berlaku insiden antara kedua-dua pelumba yang menyaksikan Marquez terjatuh dan terpaksa menghentikan aksinya.

Rossi didapati bersalah menggunakan lutut ke atas Marquez sehingga menyebabkan kemalangan itu dan dikenakan penalti.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali menyifatkan perlumbaan itu adalah 'Perlumbaan Terbaik Dekad Ini'.

"Kita dapat lihat peminat yang datang memang mahu melihat aksi Valentino Rossi dan Marc Marquez.

"Kalau di Australia dua minggu lalu, mereka menggelarkan perlumbaan di sana 'Perlumbaan Terbaik Abad Ini', mungkin di Malaysia menjadi 'Perlumbaan Terbaik Dekad Ini'," katanya.

Razlan berkata sebagai hos perlumbaan sukan permotoran dua roda itu, SIC yang menganjurkan perlumbaan itu buat kali ke-25, berjaya mencatat penjualan tiket paling banyak iaitu 150,000 bagi tiga hari berturut-turut bermula Jumaat.

"Penonton yang datang pada perlumbaan MotoGP sentiasa meningkat. Penjualan tiket untuk Formula One pun lebih kurang 120,000 tiket sahaja. Saya amat berterima kasih kepada peminat tempatan dan luar negara yang hadir," katanya.

Gelaran juara dunia akan ditentukan pada perlumbaan terakhir di Litar Valencia dari 6 hingga 8 November ini.

Selepas perlumbaan semalam, Rossi masih kekal selaku pendahulu keseluruhan dunia dengan 312 mata, walaupun beliau sekadar meraih tempat ketiga pada sirkit ke-17 perlumbaan itu.

Berikutan insiden semalam, Rossi akan memulakan perlumbaan di petak paling belakang di Grand Prix Valencia.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang dimenangi Dani Pedrosa dari Sepanyol. - BERNAMA

Berita Harian X