Isnin, 26 Oktober 2015 | 3:28pm

Moto3: Adam ganti Zulfahmi

Adam Norrodin. - Foto AsiaTalentTeam
Adam Norrodin. - Foto AsiaTalentTeam

KUALA LUMPUR: Pelumba muda, Adam Norrodin dipilih sebagai pelumba kelas Moto3 yang baharu bagi pasukan permotoran tempatan, Drive M7 SIC Racing Team musim depan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali di sini, sebentar tadi.

Katanya, Adam, 17, akan menggantikan pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin yang berlumba dalam perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) selama enam tahun semusim penuh.

"Sebenarnya kami memilih Adam untuk masuk World Championship tahun depan. Kami masih mengekalkan Jakub Kornfeil dari Czech Republik kerana beliau mempamerkan aksi yang cemerlang.

"Saya tidak sangka dia (Kornfeil) dapat podium di Silverstone baru-baru ini Kami mahu pasukan ini lebih kompetetif. Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan pada musim ini," katanya.

Razlan berkata, pihaknya masih membantu Zulfahmi dalam menentukan kariernya dalam sukan permotoran.

"Zulfahmi adalah pelumba berpengalaman, beliau akan membantu pelumba muda dalam Moto3, Asia Talent Cup, FIM CEV Repsol International Championship," katanya.

Sementara itu, Adam berkata beliau sangat teruja apabila diberi kepercayaan untuk beraksi dalam perlumbaan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) tahun depan.

"Saya sangat berterima kasih kepada SIC kerana memberikan peluang ini. Berlumba di MotoGP memang impian saya. Walaupun saya menggantikan Zulfahmi, tetapi beliau akan membantu saya untuk beraksi di Moto3 pada musim depan.

"Memang dari kecil lagi Zulfahmi adalah idola saya. Saya mula menceburi sukan permotoran ketika berusia tujuh tahun dalam Motorcross sehingga 12 tahun," kata pelumba dari Batu Pahat itu.

Adam adalah pelumba pelapis yang beraksi dalam perlumbaan Asia Talent Cup dan FIM CEV Repsol International Championship tahun ini.

- BERNAMA

Berita Harian X