Selasa, 20 Oktober 2015 | 6:11pm

Guna bas Rapid KL tonton GP Malaysia di Sepang

KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran digalak menggunakan pengangkutan awam ketika datang menyaksikan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Shell Advance 2015 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Bas Rapid KL, Mohd Azam Omar berkata, peminat mempunyai pilihan untuk bergerak dari bandar raya menaiki bas yang disediakan oleh Rapid KL atau menaiki Express Rail Link (ERL) ke KLIA2 untuk menaiki bas yang disediakan di lapangan terbang itu.

"Selain perkhidmatan dari bandar raya dan KLIA2, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas sekitar litar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azam berkata, peminat yang ingin datang menonton acara sukan motosikal itu juga boleh membeli tiket di Stesen LRT KL Sentral dan Stesen LRT KLCC.

"Bermula Jumaat apabila bermulanya perkhidmatan bas, peminat juga boleh membeli tiket bas di hab-hab bas di hab bas SIC di Zon Parking A di pintu masuk litar," jelasnya.

Tiket bas dari KL Sentral dan KLCC berharga RM18 untuk perjalanan sehala dan RM30 untuk perjalanan pergi dan balik.

Sementara tiket untuk perjalanan dari KLIA2 berharga RM10 untuk perjalanan sehala tetapi tidak ada tiket kembali ditawarkan.

Sepanjang tiga hari operasi sempena MotoGP bas pertama berlepas dari KL Sentral, KLCC dan KLIA2 bermula pukul 8 pagi sementara bas terakhir pada pukul 12.30 malam dengan kekerapan antara 30-45 minit.

Perjalanan dari stesen-stesen di bandar raya ke litar dijangka mengambil masa sejam.

Malaysia GP akan bermula Jumaat ini dengan sesi latihan bebas untuk perlumbaan utama MotoGP,Moto2 dan Moto3 serta acara Shell Advance Asia Talent Cup yang menampilkan para penunggang Malaysia pada pusingan akhir sesi.

- BERNAMA

Berita Harian X