Selasa, 15 September 2015 | 10:44am

Rembau Challenge pada 29 November, ada kelainan

PUTRAJAYA: Sukan lasak `The Rembau Challenge 2015' menyasarkan penyertaan 410 pasukan iaitu dua orang setiap pasukan membabitkan lebih 800 atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sejak pendaftaran dibuka pada 11 September lalu, pendaftaran amat menggalakkan khususnya peserta dari luar negara.

"Cabaran kali ini ada sedikit kelainan yang untuk kategori amatur jarak berkurangan dari 72 kilometer (km) kepada 63km manakala kategori profesional pula ditambah 2.2km kepada 100km.

"Bagi kategori profesional juga, para peserta perlu memanjat hingga sampai ke puncak Gunung Datuk," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran The Rembau Challenge 2015 di sini, semalam.

Khairy berkata, selain trend menunjukkan masyarakat semakin meminati sukan lasak dan bersifat kecergasan, penganjuran acara itu juga dapat membantu kementerian mempromosi program dan gaya hidup sihat.

Pada edisi pertama tahun lalu menyaksikan penyertaan 238 pasukan diwakili 408 atlet daripada 13 negara termasuk Malaysia.

The Rembau Challenge yang akan diadakan pada 29 November adalah pertandingan mirip triathlon meliputi cabaran larian, berbasikal, 'tubing', biathlon berpasukan dan ujian misteri yang turut menawarkan jumlah hadiah RM150,000 untuk dimenangi.

Pelbagai lokasi dan laluan mencabar menanti para peserta seperti Gunung Datuk, Sungai Timun, Dataran Rembau dan kawasan perkampungan.

Sementara itu, Pengarah Projek The Rembau Challenge 2015, Mohd Adzrienn Fariss Idris berkata setakat ini 70 pasukan telah mendaftar untuk menyertai acara sukan lasak itu.

Daripada jumlah itu, 30 hingga 40 peratus adalah penyertaan dari luar negara seperti Jepun, Hong Kong, Sweden, Thailand dan Taiwan.

"Tarikh tutup penyertaan pada 1 November," katanya.- BERNAMA

Berita Harian X