X
Isnin, 3 Ogos 2015 | 5:28pm

Pasukan skuasy negara mara ke separuh akhir kejohanan remaja dunia

Zoe Foo Yuk Han tewaskan Juee Bhide 11-3, 11-9, 11-8.
Zoe Foo Yuk Han tewaskan Juee Bhide 11-3, 11-9, 11-8.

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy remaja wanita Malaysia melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Skuasy Remaja Dunia 2015 selepas memenangi cabaran sukar 2-1 ke atas New Zealand pada aksi suku akhir di Belanda, hari ini.

Pada aksi di Pusat Squashtime, Eindhoven itu, Malaysia bermula baik apabila memperoleh mata pertama menerusi Zoe Foo Yuk Han yang menewaskan Juee Bhide 11-3, 11-9, 11-8.

Kedudukan itu kemudian disamakan New Zealand menerusi Eleanor Epke yang mengejutkan pemain utama negara, S Sivasangari 9-11, 7-11, 11-2, 11-8, 12-14 dalam perlawanan yang ditentukan dalam tempoh 46 minit.

Andrea Lee yang turun selaku pemain terakhir negara begitupun memberi nafas lega apabila menewaskan Abbie Palmer 11-6, 8-11, 10-12, 11-4, 14-12 dalam perlawanan yang berlanjutan lebih sejam.

Pada aksi separuh akhir yang dijadualkan awal pagi esok, pasukan bimbingan jurulatih Andrew Cross itu dijangka berdepan laluan getir apabila bertemu penyandang juara, Mesir.

Juara dunia enam kali itu berjaya menyingkirkan pilihan ketujuh, India 2-0 pada satu lagi aksi suku akhir. - BERNAMA

Berita Harian X