Sabtu, 1 Ogos 2015 | 7:32pm

Sykes sambar petak pertama Kejohanan Superbike Dunia di Sepang esok

PENUNGGANG Kawasaki Racing Team, Tom Sykes. - Foto Osman Adnan
PENUNGGANG Kawasaki Racing Team, Tom Sykes. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Penunggang Kawasaki Racing Team, Tom Sykes menyambar petak pertama Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) FIM esok, selepas melakukan catatan terpantas di perlumbaan Superpole di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Ini adalah kejayaan petak pertama yang keempat bagi pelumba Britain itu musim ini, selepas mencatat dua minit 03.240 saat, hanya 0.270 saat di depan penunggang Sepanyol, Jordi Torres dari Aprilia Racing Team-Red Devils.

Sylvain Guintoli dari PATA Honda World Superbike Team pula merakam catatan ketiga terpantas dengan 2:03.836s, bagi mendapat petak hadapan untuk dua perlumbaan 16 pusingan esok.

Bekas juara dunia, Max Biaggi pula akan memulakan perlumbaan dari petak keempat manakala pendahulu kejuaraan WSBK musim ini, Jonathan Rea sekadar melakukan catatan ketujuh terbaik.

Sykes yang menunggang Kawasaki ZX-10R berkata, dia lega kerana tiada hujan sewaktu perlumbaan hari ini yang boleh menjejaskan aksinya.

Dia juga berpuas hati dengan penukaran pelarasan motosikalnya dan pasukannya dapat mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan sebagai persediaan untuk perlumbaan esok.

"Akhirnya kami berjaya melakukan tugas dengan baik dan sekarang semua maklumat yang dikumpulkan boleh digunakan esok.

"Secara keseluruhan, pelarasan yang dilakukan terhadap motosikal ini sangat baik. Kami banyak melakukan perubahan pada suspensi, ada yang berkesan, ada yang tidak. Kesudahannya, semuanya menjadi seimbang.

"Kami mengambil risiko dalam dua perlumbaan superpole ini, hari ini.. kami tidak berpuas hati dengan motosikal, ia sentiasa perlukan peningkatan," katanya.

Sykes juga berkata SIC menjadi semakin buruk berbanding tahun lalu kerana keadaannya yang kian beralun.

Mengenai keyakinannya untuk memenangi perlumbaan esok, Sykes berkata tiada sebab untuk dia dan pasukannya berasa kurang yakin walaupun sedar pelumba lain pasti akan bersaing hebat bagi memburu kemenangan.

"Tiada sebab untuk berasa tidak yakin. Sudah pasti saya mahu memperbaiki aksi tapi pada masa sama sedar ramai pelumba lain mampu membuat kejutan.

"Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dan sentiasa meyakinkan diri untuk menang," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X