Jumaat, 3 Julai 2015 | 5:42pm

Kerjasama JDT-Dortmund tingkat pembangunan bola sepak Johor

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kelab bola sepak Jerman, Borussia Dortmund akan membantu Johor dalam melahirkan lebih banyak pemain bola sepak muda berbakat pada masa depan.

Perunding bola sepak Johor, Serbegeth Singh berkata, menerusi kerjasama itu, ia tidak hanya terbatas kepada pembangunan taktikal dan pendidikan kejurulatihan, namun turut memberi fokus kepada sains sukan dalam bola sepak.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan mereka (Borrusia Dortmund). Mereka mempunyai pembangunan bola sepak remaja yang menyeluruh. Mereka telah melahirkan banyak pemain muda berbakat di negara mereka dan akan terus melahirkan pemain-pemain seumpama itu, maka kerjasama ini sangat penting.

"Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sangat menitikberatkan program pembangunan belia negeri itu.

"Untuk kelab, mereka perlu mengekalkan dari segi pencapaian bagi suatu tempoh dalam melahirkan pemain sendiri," katanya.

Serbegeth Singh yang juga dikenali sebagai Shebby Singh, berkata kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada struktur pembangunan yang sistematik dan cekap.

"Apa yang membuatkan pemain Jerman dalam kalangan pemain yang paling cergas di dunia? Bagaimana mereka mencapai tahap ini dan dari kumpulan umur yang berbeza. Mereka juga mempunyai keperluan pemakanan dan kecergasan yang berbeza.

"Kami belajar dengan pasukan yang terbaik, yang kita cuba untuk menerima pakai amalan yang baik daripada kelab terbaik.

"Borrusia Dortmund telah dipilih...ia seperti memperoleh kepakaran yang mereka ada," katanya sambil menambah bahawa program pembangunan di peringkat akar umbi dengan Borussia Dortmund bermula sejak Februari lalu.

Serbegeth berkata Johor mempunyai lima pasukan yang terdiri daripada JDT sebagai pasukan utama, selain JDT II, JDT III, JDT IV dan JDT V untuk musim ini.

JDT dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund (BVB) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 9 Julai ini. - BERNAMA

Berita Harian X