Isnin, 22 Jun 2015 | 3:57pm
Khairul Idham Pawi mewakili Honda Team Asia.
Khairul Idham Pawi mewakili Honda Team Asia.

Khairul cemerlang di Litar Catalunya, Barcelona

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi cemerlang dalam saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia apabila meraih dua podium di saingan pusingan ketiga Kejuaraan CEV Repsol FIM di Litar Catalunya, Barcelona, semalam.

Pelumba Honda Team Asia yang bermula dari barisan depan, mempamer aksi terbaik apabila berjaya memberikan saingan di kelompok hadapan sepanjang Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.

Dia berjaya menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan kedua dengan masa 30'03.480s selepas bersaing sengit dengan juara, Aron Canet yang menamatkan perlumbaan dengan masa 30'03.397s, manakala pelumba Itali, Nicola Bulega, di tempat ketiga dengan masa 30'05.162s.

Bekas juara Asia Dream Cup itu sekali lagi beraksi cemerlang pada Perlumbaan 2 apabila saling bertukar kedudukan pendahulu, sebelum masalah jentera pada penghujung perlumbaan.

Ini membuatkan Khairul terpaksa beraksi lebih selamat untuk menamatkan 16 pusingan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa 30'08.601s, di belakang juara, Joan Mir dan naib juara, Canet, masing-masing dengan masa 30'07.546s and 30'07.618s.

Meskipun sedikit kecewa dengan aksi perlumbaan kedua, pelumba berusia 16 tahun yang turut beraksi bersama pasukan Kozi Yam Honda Racing dalam kelas CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu, kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 63 mata, ketinggalan 23 mata di belakang Canet selaku pendahulu.

"Saya gembira dengan keputusan perlumbaan minggu ini. Saya berterima kasih kepada pasukan dan jurutera yang bekerja keras menyiapkan jentera saya.

"Pada perlumbaan pertama, saya bermula dengan baik dan berjaya memberikan saingan kepada Canet sepanjang perlumbaan namun saya membuat sedikit kesilapan pada saat penting dan kemudiannya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

"Perlumbaan 2 pula sedikit sukar apabila saya terkepung di dalam kelompok pelumba yang ramai dan terpisah dari pendahulu sebelum terpaksa bekerja keras untuk mengejar mereka.

"Namun selepas berjaya berada di kelompok tiga pelumba di hadapan, tayar saya sudah mula bermasalah dan terpaksa mengambil langkah selamat untuk mengawal jentera dengan baik menuju ke garisan penamat.

"Meskipun begitu, saya sudah cukup berpuas hati dapat sekali lagi menjejakkan kaki di atas podium."

Pusingan 4 Kejuaraan Moto3 Junior Dunia akan berlangsung di Litar Motorland Aragon (Sepanyol) pada 5 Julai ini.

KEPUTUSAN

Perlumbaan 1

1. Aron Canet (ESP) 30'03.397s

2. Khairul Idham Pawi (MAS) 30'03.480s

3. Nicola Bulega (ITA) 30'05.162s

4. Albert Arenas (ESP) 30'05.391s

5. Lorenzo Dalla Porta (ITA) 30'05.454s

Perlumbaan 2

1. Joan Mir (ESP) 30'07.546s

2. Aron Canet (ESP) 30'07.618s

3. Khairul Idham Pawi (MAS) 30'08.601s

4. Nicola Bulega (ITA) 30'15.175s

5. Albert Arenas (ESP) 30'15.236s

Kedudukan Keseluruhan

1. Aron Canet (ESP) 90 mata

2. Khairul Idham Pawi (MAS) 63 mata

3. Nicola Bulega (ITA) 55 mata

4. Joan Mir (SPA) 50 mata

5. Bo Bendsneyder (NED) 48 mata

- AGENSI

Berita Harian X