Ahad, 21 Jun 2015 | 5:24pm

Khairul mula barisan depan kejuaraan dunia Moto3

PELUMBA Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi.
PELUMBA Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi.

KUALA LUMPUR: Pelumba Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi sudah bersedia untuk satu lagi pertarungan podium apabila bermula di barisan depan pada Kejuaraan Dunia Remaja Moto3 di Litar Catalunya, Barcelona.

Menurut pasukannya hari ini, pelumba negara berusia 16 tahun itu mencatatkan masa gabungan ketiga terpantas 1 minit 51.481 saat iaitu catatan yang direkodkan pada sesi pertama kelayakan masa.

Anak kelahiran Perak itu berharap memperbaiki masa terbaik sepusingan dan bertarung untuk kedudukan petak utama pada sesi kedua kelayakan masa, namun terjejas dengan aliran trafik yang banyak.

"Saya amat gembira kerana hampir mencatatkan masa sepusingan terbaik pada sesi pertama. Pada awalnya, kami sasar untuk meningkatkan prestasi pada sesi kedua tetapi malangnya terperangkap dengan aliran trafik dan terlepas kedudukan petak utama dengan hanya setengah saat.

"Bagaimanapun, kami memperagakan rentak kompetitif dan berharap boleh menampilkan aksi yang lebih bertenaga pada hari perlumbaan," katanya.

Kedudukan petak utama milik pelumba Sepanyol, Joan Mir dengan masa terpantas 1:51.058s, diikuti rakan senegara, Aron Canet dengan 1L51.133s.

KEPUTUSAN KELAYAKAN

1. Joan Mir (SPA) 1:51.058s

2. Aron Canet (SPA) 1:51.133s

3. KHAIRUL IDHAM (MAS) 1:51.481s

4. L.Dalla Porta (ITA) 1:51.482s

5. Gabriel Rodrigo (ARG) 1:52.007s

-- BERNAMA

Berita Harian X