Isnin, 25 Mei 2015 | 12:30am

Chelsea tamat musim EPL penuh bergaya; Drogba ditabik

Kapten Chelsea, John Terry (tengah) menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang diserahkan kepada pasukan sejurus selepas tamat perlawanan menentang Sunderland di Stamford Bridge, Ahad.
Kapten Chelsea, John Terry (tengah) menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang diserahkan kepada pasukan sejurus selepas tamat perlawanan menentang Sunderland di Stamford Bridge, Ahad.

LONDON: Didier Drogba meninggalkan impak besar dalam kemunculan kali kedua bersama Chelsea ketika anak didik Jose Mourinho melengkapkan jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Sunderland 3-1 di Stamford Bridge, Ahad.

Diego Costa mengesahkan status selaku penyerang nombor satu kelab dengan gol ke-20 musim ini menerusi sepakan penalti pada minit ke-36 untuk mengikis gol pendahuluan pemain lawan, Steven Fletcher sebelum Loic Remy mengesahkan tiga mata penuh dengan dua gol pada lewat babak permainan.

Trofi kejuaraan diserahkan kepada pasukan Chelsea sejurus selepas tamat perlawanan untuk pemain berpesta bersama penyokong tegar mereka di laman sendiri.

Sementara itu, Drogba diberi penghormatan apabila diusung keluar oleh rakan sepasukan apabila dia digantikan pada minit ke-28 gara-gara mengalami kecederaan pada kemunculan terakhir untuk The Blues dengan pingat kejuaraan liga.

Di Stadium Etihad, Frank Lampard berundur dengan perlawanan terakhir dalam liga Inggeris apabila menjaringkan gol pembukaan membantu Manchester City menewaskan Southampton 2-0.

Sergio Aguero menambah gol kedua pada lewat babak permainan untuk barisan didik Manuel Pellegrini kekal ditangga kedua.

Sementara itu, jaringan hatrik babak pertama oleh Theo Walcott mengesahkan Arsenal tempat ketiga liga dengan kemenangan 4-1 ke atas West Bromwich Albion.

Secara tidak langsung ini bererti Manchester United terpaksa melalui perlawanan play-off dalam Liga Juara-Juara selepas seri 0-0 dengan Hull City dan menghuni tangga keempat . - AFP

Berita Harian X