Sabtu, 23 Mei 2015 | 4:36pm

Mourinho mahu pemain akhiri kempen dengan bergaya

Mourinho mahu pemain akhiri kempen dengan bergaya. - Foto Reuters
Mourinho mahu pemain akhiri kempen dengan bergaya. - Foto Reuters

LONDON: Jose Mourinho menuntut barisan bintangnya di Chelsea agar mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan bergaya sekalipun sah menjulang trofi kejuaraan berakhir perlawanan menentang Sunderland, esok.

Suasana pesta pasti menyelubungi Stamford Bridge ketika Mourinho yang baharu saja dinobatkan pengurus terbaik EPL dan pemainnya menjulang trofi berprestij selaku juara Inggeris yang kali terakhir dimenangi pada 2010 itu.

Menambah gemilang musim ini, Chelsea turut memenangi trofi Piala Liga pada Mac selepas menewaskan Tottenham dan kekalahan menentang Sunderland pada perlawanan terakhir pasti sesuatu yang ingin dielakkan.

Seandainya menang ke atas Sunderland yang mengesahkan tempat di EPL hasil keputusan seri menentang Arsenal, pertengahan minggu ini, Chelsea akan melengkapkan saingan liga dengan hanya empat kekalahan dalam semua kejohanan, terendah dalam kempen EPL sejak 1992.

Ia turut menamatkan rekod Manchester United yang hanya tewas lima perlawanan pada musim 1999.

Dikenali dengan mulut lantangnya, Mourinho menegaskan tidak begitu teruja dengan kejayaan, sekalipun mengakui akan menyimpan medal kemenangannya musim ini selepas mencampaknya kepada penonton sebelum ini ketika kali kedua membawa Chelsea muncul juara Inggeris pada 2006.

"Trofi itu, barangan perak itu maknanya kurang berbanding perasaan ini. Realitinya ialah perasaan sebenar bagi saya secara peribadi ialah apabila kamu melakukannya," kata Mourinho.

"Saya akan menyimpannya kali ini. Anak lelaki saya mengumpul segala barangan milik saya dan menjaga semuanya. Dia mencuri segala-galanya daripada saya, baju, pingat dan piala.

"Motivasi bagi kami untuk menjadi juara dan bagi Sunderland ialah tidak tersingkir. Kami sudah meraikannya, mereka meraikannya sejak minggu lalu di mana mereka mendapat keputusan yang baik.

"Ini adalah perlawanan terakhir yang pastinya mereka mahu menang, mereka (Sunderland) juga jadi ia adalah normal," katanya.

Begitupun, pada perlawanan menentang Sunderland, Chelsea boleh dianggap tempang tanpa beberapa khidmat pemain utama seperti Eden Hazard, Kurt Zouma, Oscar dan Ramires akibat kecederaan, manakala Cesc Fabregas menjalani penggantungan. - AFP

Berita Harian X